Nazhan dan Husna
Semalam saya mendapat berita kematian sahabat kepada kakak saya, Kak Hasnah Hamzah. Saya pernah berjumpa dengannya 2 3 kali ketika Kak Hasnah berkunjung ke rumah dan ketika kami bersama-sama menyertai program. Arwah terlibat dalam kemalangan jalan raya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Menurut berita yang saya terima, ketika kemalangan, arwah sedang menyususkan anaknya dan duduk di bahagian belakang.
Saat saya mendengarkan cerita berita itu, satu-satunya perkara yang memilukan hati saya adalah kerana anak-anak arwah masih kecil. Malah Husna masih menyusu! Sebuah tazkirah yang amat hebat buat diri saya - bahawa saat kematian telah datang, tiada satupun yang kita cintai dapat kita bawa pergi bersama. Mungkin kerana saya sangat rapat dengan Ilham, tidak jarang saya merasa "Ilham tak boleh jika tidak ada Ummi". Saya selalu berat hati meninggalkan dia.
Namun, Kak Hasnah tidaklah pergi begitu sahaja. Bagi saya beliau telah meninggalkan sebuah perkara yang sangat berharga bukan sahaja buat anak-anaknya, dirinya, malah ummat Islam secara keseluruhannya. Sebuah buku bertajuk "Kamceng Dengan Solat". Pernah saya terdengar sebuah wawancara di radio IKIM yang antara isinya seperti berikut:
"Surat khabar hayatnya 1 hari. Majalah hayatnya seminggu sehingga sebulan atau dua bergantung kepada kadar sirkulasinya. Berbeza dengan buku, hayatnya lebih lama (Benarkan? malah tak jarang saat si pemilik sudah tiada, buku-bukunya masih ada dan diwariskan pula kepada anak dan cucu). Maka, jika apa yang dituliskan itu baik, selama mana ia memberi manafaat kepada pembacanya, selama itulah pahalanya mengalir kepada penulisnya.."
"Kamceng Dengan Solat" - sebuah nasihat yang pasti akan dibaca berulang-ulang kali saat sang anak merindukan si ibu. Sebuah tinggalan yang tidak ditinggalkan untuk ditatapi dengan air mata kerinduan tetapi untuk lebih dekat dengan Tuhan. Sungguh arwah Kak Hasnah adalah bidadari yang akan selalu hidup. Maka, tulislah tazkirah-tazkirah yang baik! Semoga ia menjadi saham ketika sudah tiada dan motivasi menuju kebaikan buat yang masih ada.
Semoga Allah merahmati arwah Kak Siti Hasnah binti Hamzah.
"Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada Rabb-mu dalam keadaan redha lagi diredhai.."
inna lillah wa inna ilayhi ra ji'un. alfatihah. semoga keluarga arwah bersabar menerima dugaan ini
ReplyDelete