Friday, April 13, 2012

Niqabi I am

Saya merasa terpanggil menulis tajuk ini. Sebetulnya sudah lama ingin berkongsi pandangan di sini tetapi kerana beban tugasan kampus yang menggunung ditambah perasaan bersalah pada Ilham sekiranya berlama-lama di hadapan komputer mnyebabkan niat saya seringkali terkandas di tengah jalan. Semoga Allah mempermudahkannya untuk saya pada malam ini.


SAYA & NIQAB 1.

Pertama kali saya mengenakan niqab tepatnya pada 1 Syawal sebaik setelah menamatkan SPM pada tahun 2003. Pada tahun tersebut, saya menerima banyak gangguan dari pemuda-pemuda dan menyebabkan saya merasa sangat tidak selesa berada di luar rumah. Ketika sayamenyatakan hasrat saya kepada ayah, ayah tidak membantah malah menceritakan kisah seorang pemuda ketika zaman Saidina Umar yang dinasihatkan keluar dari negeri kerana ketampanan wajahnya membuat ramai wanita tergoda.

Ujian pada ketika itu sangat besar kerana saya melakukan tanpa berguru. Saya menjadi sangat serba salah apabila berziarah ke rumah sanak saudara. Bagaimana ingin makan? Bagaimana ingin minum? Saya tidak tahu. Bolehkan membuka wajah dihadapan umum setelah memakai. Saya yang muda dan penuh kejahilan.

Pada bulan Januari tahun berikutnya, saya diterima menyambung pengajian di DQ. Termakbulnya sebuah doa yang saya panjatkan saban hari di bulan Ramadhan sebelumnya. Suasana di DQ sangat membantu kerana ramai senior yang berniqab ketika keluar kampus dan ramai juga pelajar baru yang mula belajar berniqab.

Namun, setelah tamat DQ dan meneruskan perjalanan ilmu ke Pusat Matrikulasi UIA, semangat berniqab saya mula pudar kerana suasana kampus yang tidak membantu ditambah pula ketika itu saya sudah mengikat janji dengan lelaki yang kini menjadi suami saya. Ketika itu saya merasakan punya strategi baru untuk menjauhkan lelaki2 yang ingin mendekati saya iaitu dengan kata keramat "saya sudah mengikat janji dengan seseorang". Lama kelamaan, saya akhirnya menanggalkan niqab saya dan selesa dengan sekadar berjubah dan bertudung labuh. Demikianlah bagaimana sebuah niat yang fana menyebabkan terkandasnya sebuah perjalanan.


SAYA & NIQAB 2.

Jika tidak salah ingatan saya, pada tahun ketiga perkahwinan kami, suami saya mula menganjurkan saya berniqab. Pada mulanya saya merasa sangat keberatan kerana saya pernah berniqab sebelum ini dan saya maklum cabarannya. Kami banyak berdiskusi tentang hukum. Kenapa? Apa batasannya? Tidak cukup sempurnakah pakaian saya sekarang? Bagaimana hukumnya menurut ulama'? Wajibkah? Setelah memakainya bolehkan membuka wajah di khalayak? Dan banyak lagi persoalan-persoalan yang saya ajukan. Penuh dengan air mata dan rajukan. Tetap suami saya tidak berputus asa memujuk saya. Beliau malah berbincang dengan ramai ustaz2 dan menelaah banyak buku untuk mencari jawapan yang tepat.

Perlu diketahui, tiga tahun sebelum itu, suami saya telah melakukan pelbagai usaha menyempurnakan pakaian saya. Bermula dengan stongan dan stokin di luar dan di dalam rumah (ketika kehadiran ipar duai) sehinggalah ke kekek di bawah dagu. Suami saya sangat teliti dalam soal ini. Beliau sangat teliti dalam soal warna, fesyen dan kejarangan pakaian. Saya yang jahil selalu menangis bila ditegur sehingga suatu hari suami saya berkata: "Abang bukan melakukan ini untuk abang, seikut nafsu abang. Bukan untuk kesenagan abang. Malah tak senang pun untuk melakukan ini. Tapi kena ingat bukan abang yang akan dipersoal kelak tapi sayang". Oh, ayat ini sangat menyedarkan saya.

Akhirnya saya kembali memakai niqab dengan niat menggembirakan hati suami saya (betapa tidak ikhlasnya saya ketika itu). Perbincangan masih tetap kami teruskan untuk meneguhkan hati saya kerana ketika itu hati saya masih lagi tidak berjumpa jawapan yang tepat untuk saya istiqamah. Saya sedar hal ini bukan fesyen yang berganti mengikut musim.

Saya pernah berkata kepada suami saya "Sayangkan dah jadi isteri abang. Tak de dah orang nak kat sayang. Abang jangan risau". Suami saya kemudian membalas "Niqab bukan dipakai kerana menutup wajah yang cantik. Kalau begitulah tujuannya, adakah orang yang tak cantik tak boleh berniqab? Kemudian, apa kayu ukur nak tentukan cantik atau tidak? Ia terlalu subjektif. Tetapi niqab ini adalah sunnah Ummahatul Mu'minin. Sebuah kemuliaan bagi wanita dimana wajahnya hanya dikhaskan untuk suaminya (which makes her husband so special) dan pakaiannya mampu menyebabkan orang lain malu melakukan kejahatan ke atas dirinya"

Ya, itulah jawapan yang saya cari-cari. SUNNAH. Bukan kerana menutup wajah yang cantik, bukan kerana untuk mengelak fitnah dan jawapan tipikal lainnya. Tapi kerana sunnah. Kecantikan akan pudar. Fitnah boleh hilang. Tetapi sebuah sunnah akan selamanya relevan diamalkan. Malah untuk SEMUA dan di mana sahaja! Cara hidup terbaik yang diajarkan oleh manusia terbaik melalui petunjuk Ilahi. Walaupun kelompongan di hati saya sudahpun terisi, pada permulaan saya kembali berniqab, suami saya masih selalu berkata kepada saya, "Ini bukanlah paksaan kerana hukumnya bukanlah wajib. Abang tak mahu sayang lakukan kerana terpaksa".


SUAMI SEORANG NIQABI.

Saya kira tiada salahnya saya katakan bahawa suami saya suami yang sangat baik (kerana semua isteri juga akan mengatakan begitu tentang suaminya kan?). Kehidupan pasca niqab sangat menarik. Suami saya sangat memainkan peranannya. Jika kami makan diluar, beliau akan mencarikan tempat2 yang terlindung. Beliau sangat sensitif terhadap keinginan saya. Walaupun tidak saya ungkapkan, tetap beliau mengetahui. Ada sekali saya sangat teringin mandi air terjun which I think is so impossible as a niqabi. Suami saya tetap sedaya upaya memenuhi keinginan saya dengan cara mencari tempat2 yang agak tersembunyi supaya saya boleh "berenang" bersama Ilham. Beliau juga sentiasa mencari2 peluang supaya tetap boleh melakukan aktiviti seperti orang lain dalam keadaan aurat saya tetap rapi terjaga. Saya sedar, semuanya dilakukan dengan segala susah payah agar sang isteri ini tidak merasa "kurang" hanya kerana memakai niqab. Beliau selalu berkata "semuanya ada caranya". Beliau yang selalu istimewa di hati saya.

Bagi saya, peranan suami (atau bapa dan saudara laki2 jika masih bujang) ini sangat penting dalam kehidupan seorang niqabi. Tanpa bantuan dan sokongan meraka2 ini, wanita2 berniqab mungkin hanya melakukannya separuh jalan.


YANG PERLU DIJAGA

Memakai niqab perlulah dilakukan dengan ilmu. Ilmu apa? Ilmu berkaitan prioriti aurat wanita. Seseorang yang berniqab akan terlihat sangat tempang jika wajah ditutup tetapi kakinya terbuka. Atau mungkin ketika dia sangat menjaga wajahnya agar tidak terlihat, dia mengabaikan lengan bajunya yang terselak dan menampakkah pangkal lengannya. Hal ini tidak sepatutnya terjadi kerana yang lebih utama dijaga adalah kaki dan lengan tersebut kerana hukumnya wajib sedangkan menutup wajah adalah sunnah.

Begitu juga halnya jika seorang yang berniqab tetapi suaranya bermanja2 ketika bercakap dengan lelaki ajanbi dan galak hilai tawanya, maka ketika itu kain yang meliputi wajahnya bukanlah lagi menjadi perisai. Benar, niqabi bukan malaikat. Tetapi saat anda memutuskan menjadi seorang niqabi, mengikuti jejak ummahatul mu'minin, ikutilah secara keseluruhannya. Jangan diambil hanya yang mahu dan ditinggalkan apa yang kurang cocok dengan qalbu. Terkadang kita terlalai dan akhlak kita terlihat tidak "matching" dengan penampilan kita, maka berazamlah untuk tidak mengulanginya lagi.


NIQABI DAN FB

Bolehkah meletakkan gambar yang menampakkan wajah di FB? Tentu saja boleh kerana wajah menurut jumhur ulama' bukanlah aurat wanita. Tetapi tanyakan kembali kepada diri anda, untuk apa sebenarnya anda berniqab jika wajah anda boleh sahaja ditonton sesiapa di FB. Mungkin ada yang mengatakan, "Owh, saya restricted kepada perempuan sahaja". Saya beri anda situasi sebenar. Hakikatnya, kawan2 perempuan anda juga mempunyai suami, ayah, adik, pakcik, abang dan saudara2 yang jantinanya lelaki. Saya sendiri terkadang melayari FB bersama suami. Jadi system restricted di FB bukanlah apa-apa yang boleh diberi kepercayaan.

Ada juga yang berkata "kalau begitu bagaimana ingin saling mengenali jika bertemu di luar FB". Percayalah, tetap tidak akan timbul apa-apa masalah jika tidak meletakkan gambar. Saya pernah menghadapi masalah yang sama di saat seorang kenalan meminta saya meletakkan gambar di FB. Saya mendiamkan diri kerana tidak tahu apa jawapan yang sesuai sehingga akhirnya saya bertanya kepada suami (lagi dan lagi). Ringkas suami saya menjawab, "Jemputlah dia datang ke rumah. Masak-masak sikit". Ya, itulah antara jalan keluar terbaik. Bukan sahaja dapat berkenalan lebih mesra malah ikatan ukhuwah juga akan lebih rapat.

Seorang sahabat yang telah lama tidak saya temui, baru-baru ini menegur saya di daurah yang saya hadiri. Saya terkejut dan berkata "Reef boleh cam saya?" (sebab hanya nampak mata). "Boleh" jawabnya santai. Betapa indahnya sebuah ukhuwah. Tidak mungkin terhalang oleh hanya sehelai kain.


ISTIQAMAHLAH WAHAI UKHTI MUSLIMAH

Yang anda baca ini hanyalah tulisan seorang pelajar Matematik yang tidak fasih berbahasa arab apatah lagi membaca kitab2. Saya bukan ustazah apa lagi pelajar jurusan agama. Tetapi niqab bukanlah pakaian pelajar agama dan ustazah sahaja. Semua muslimah seharusnya sentiasa memperbaiki pakaiannya. Saya sangat ingin menjalani kehidupan yang sekali ini dengan cara terbaik yang diajarkan sang nabi. Bukankah kita dibolehkan berlumba-lumba (malah cemburu) dalam soal ibadah. Tidak sewajarnya timbul rasa hati "Dia tu pakai niqab nak tunjuk dia lebih baik dari kita lah tu" kerana rasa hati seperti itu hanyalah melambatkan kita dalam proses memperbaiki diri.

Nasihat saya kepada sahabat2 yang ingin memulakan perjalanan niqab ini, juga kepada yang already-a-niqabi (yang saya perhatikan semakin hari semakin ramai alhamdulillah), lakukanlah dengan ilmu yang benar dan cara yang betul. Juga, sentiasalah berlapang dada menjawab dan menghadapi mereka2 yang merasa kita sangat "alien". Sesungguhnya mereka tidak tahu dan saya selalu percaya jika diberi maklumat yang benar, mereka juga akan senang berdamping dengan kita. Semoga kita diberi hidayah untuk terus istiqamah sehingga ke akhir hayat kita. Ameen.