14 September 2013/8 Zulkaedah 1434H
Isu diskriminasi terhadap wanita bertudung kembali hangat dengan rentetan kejadian wanita yang tidak diambil bekerja hanya kerana dia bertudung, sedangkan dia mempunyai kelayakan pendidikan atau pengalaman. Seorang pengguna Facebook (FB) dikenali sebagai Mira Kamil, telah memuat naik status kekecewaannya selepas berulang kali permohonan kerjanya di sebuah butik ternama telah ditolak atas alasan dia bertudung. Sebelumnya pada bulan Jun 2013, Mokteh Bekeng dari Kajang, dalam ruangan Forum Utusan Malaysia telah mengadu mengenai nasib yang menimpa anak saudaranya apabila salah sebuah hospital di Kuantan, hanya bersedia menawarkan kerja sebagai jururawat jika sanggup membuka tudung.
Di Malaysia, isu tudung pernah mencetuskan pelbagai kontroversi dari isu pelajar sekolah yang dilarang bertudung ketika bersukan (NST 23/3/2006) hinggalah pekerja hotel yang pernah dibuang kerja kerana mengenakan tudung (UM 27/2/2006). Di peringkat antarabangsa, isu hijab dan tudung juga sentiasa menjadi polemik yang menarik perhatian awam samada di benua Asia mahupun Eropah. Amat menarik sekali baru-baru ini, gerakan pro hijab di Sweden yang terdiri dari lelaki dan wanita Sweden telah menghantar gambar orang mengenakan hijab di atas talian untuk menunjukkan solidariti mereka terhadap wanita yang dikasari kerana mengenakan hijab.
Apa yang berlaku menunjukkan kepada kita, betapa besarnya cabaran untuk masyarakat dunia melaksanakanKonvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita atau Convention on the Elimination ofAll Forms of Discrimination Against Women (CEDAW) yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 18 Disember 1979 dan berkuat kuasa mulai 3 September 1981. Konvensyen ini memberi penekanan kepada usaha menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita, termasuk dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya. Malaysia meratifikasi CEDAW pada 5 Julai 1995.
Wanita IKRAM berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk:
1. Semua pihak menolak sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita bertudung kerana mereka hanya mengamalkan hak kebebasan beragama.
2. Kerajaan perlu mengambil tindakan yang bersesuaian terhadap majikan atau syarikat yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita bertudung. Wanita IKRAM menyokong pandangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim yang menyelar majikan yang mengamalkan diskriminasi seperti ini dan kementeriannya tidak akan sesekali berkompromi dengan pihak terbabit.
3. Setiap wanita mengetahui hak mereka yang dijamin melalui perlembagaan dan undang-undang. Mereka harus berani tampil untuk membuat aduan. Sudah tiba masanya, wanita dinilai atas kemampuan dan kebijaksanaan mereka, bukan atas tubuh badan dan rupa paras mereka.
Marilah sama-sama kita HENTIKAN sebarang bentuk DISKRIMINASI dan KEGANASAN terhadap wanita daripada pelbagai latarbelakang, warna kulit dan juga bangsa.
Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia