NASIONALISME DAN KEGEMILANGAN SILAM
Jika nasionalisme yang dimaksudkan oleh mereka yang berbangga dengan semangat nasionalisme ialah generasi mutakhir perlu menurut jejak generasi silam dalam membina hidup gemilang, dihormati, cemerlang, berkeyakinan tinggi dan menjadikan mereka sebagai contoh yang baik; jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kegemilangan seorang bapa menjadi kebanggaan seorang anak lantaran itu menjadi pembakar semangat dan perangsang. Jika ini yang dimaksudkan, ia adalah suatu tujuan yang baik. Kami sokong dan kami galakkan.
Bukankah usaha kita membangkitkan hemah generasi masakini bertujuan supaya mereka mencontohi kehebatan generasi silam. Rasulullah s.a.w. sendiri ada menyentuh aspek ini :
"Manusia ini seperti logam. Orang yang terbaik di zaman jahiliyyah adalah manusia terbaik di zaman Islam, jika mereka memahami"
Dengan ini, anda boleh melihat Islam tidak menolak nasionalisme jika ia membawa maksud mulia ini.
NASIONALISME DAN UMMAH.
Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah keluarga dan ummah adalah orang yang paling utama menerima layanan yang baik dan orang yang paling utama dilimpahkan segala sumbangan dan jihad; maksud ini adalah benar. Siapakah yang tidak merasakan bahawa orang yang paling utama untuk menerima sumbangannya ialah bangsanya sendiri yang telah membesarkannya.
"Demi sesungguhnya keluarga tetap lebih berharga bagi seseorang walau seluruh manusia telah tunduk kepadanya"
Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kita semua dituntut supaya berusaha dan berjihad, maka menjadi kewajipan setiap pihak untuk berusaha mencapai matlamat ini sehingga dengan izin Allah masing-masing mencapai kejayaan. Inilah pengagihan tugas yang terbaik. Siapa lagi kalau bukan kita yang membekalkan kepada umat timur dengan pelbagai pasukan dan ketumbukan jihad dalam setiap lapangan sehingga kita bertemu semuanya dalam kemerdekaan dan kebebasan.
Semua nilai nasionalisme ini dan yang seumpamanya adalah nilai yang baik, disanjungi dan tidak dilarang oleh Islam. Nilai ini menjadi ukuran kita dan kita bukan sahaja menerima dengan senang hati semua nilai ini, malah kita sokong.
NASIONALISME JAHILIYYAH
Jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah menghidupkan kembali budaya jahiliyyah yang telah pupus. Mewujudkan semula sejarah yang telah lenyap dengan mengenepikan tamadun baik yang telah bertapak kukuh. Membuang semua yang ada kaitan dengan Islam semata-mata kerana semangat nasionalisme dan semangat kebangsaan sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah negara yang amat fanatik sehingga ke tahap menghancurkan semua imej Islam dan arab, termasuk mengubah nama, huruf dan istilah yang digunakan dan menghidupkan semula budaya jahiliyyah yang telah sekian lama pupus. Jika inilah nasionalisme yang dimaksudkan, maka nasionalisme seperti ini tidak betul dan membawa kesan yang amat buruk. Ia hanya membawa kerugian yang teruk kepada timur. Selain kehilangan segala warisannya dan merendahkan kedudukannya, Timur akan kehilangan segala keistimewan dan kesuciannya yang paling berharga. Namun, ia tidak sedikitpun akan mencemar agama Allah swt.
"Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan menderma), Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu" [Surah Muhammad : ayat 38]
NASIONALISME DAN PENCABULAN
Jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah berbangga dengan bangsa sendiri sehingga tahap merendahkan bangsa lain, memusuhi dan memanipulasi bangsa lain demi memartabatkan bangsa sendiri seperti mana yang pernah dilakukan oleh Jerman dan Itali atau mana-mana bangsa yang mendakwa bangsa mereka lebih istimewa berbanding bangsa-bangsa lain, maka maksud seperti ini adalah suatu yang keji malah bercanggah sama sekali dengan nilai perikemanusiaan. Tindakan ini sebenarnya membawa maksud memanipulasi semua bangsa manusia demi mencapai suatu yang tidak pasti, suatu yang bukan hakiki dan tidak mendatangkan kebaikan kepada sesiapa.
DUA TERAS
Ikhwan Muslimin tidak dapat menerima nasonalisme jika itu yang dimaksudkan atau apa sahaja yang membawa maksud yang sama. Ikhwan juga tidak perlu melaungkan semangat Firaun atau Arab atau Pheonix atau Syiria atau apa sahaja nama atau gelaran yang menjadi kebanggaan ramai manusia. Namun, Ikhwan menerima apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. yang merupakan seorang manusia yang sempurna malah seorang manusia terbaik yang mengajar perkara yang baik kepada manusia. Sabda baginda, maksudnya :
"Allah telah membersihkan kamu daripada nilai jahiliyyah dan budaya berbangga dengan nenek moyang. Seluruh manusia berasal dari Adam dan Adam dari tanah. Tiada kemuliaan bagi orang Arab berbanding bukan Arab kecuali dengan ketaqwaan"
Alangkah indah dan adilnya ungkapan ini. Semua manusia daripada Adam dan kerana itu mereka semua setaraf. Manusia hanya berbeza berdasarkan amalan mereka. jadi sepatutnya mereka bersaing dalam melakukan kebaikan. Sekiranya dua teras ini menjadi landasan kepada bangsa manusia, sudah tentu martabat manusia akan meningkat hingga ke puncak langit.
Pertama, semua manusia dari Adam, jadi mereka semua adalah bersaudara. Oleh itu, mereka perlu saling bekerjasama, bahu-membahu, berkasih sayang dan saling memimpin ke arah kebaikan.
Kedua, perbezaan antara manusia hanyalah berdasarkan amalan mereka. Jadi masing-masing perlu berusaha supaya dapat mengangkat martabat seluruh manusia. Apakah ada perkara yang dapat mengangkat darjat manusia ke tahap ini? Apakah ada didikan yang lebih baik daripada didikan Rasulullah s.a.w. ini?
No comments:
Post a Comment